Oleh: Izzat Ismail
Astro Ria kembali dengan program bercorak realiti dan kini sedang mencari bakat baru terutama didalam bidang pengacaraan. Tambahan lagi, kehadiran ramai penyampai tidak kira di bidang radio mahupun TV memberikan perkembangan positif pada perkembangan industri hiburan di Malaysia.
Oleh sebab itulah program terbaru berjudul “On Air” disediakan bagi memberi peluang kepada penyampai baru untuk menyerlahkan bakat mereka, dan apa yang harus ditekankan adalah penampilan mereka didepan khalayak ramai serta berupaya menjadi kayu pengukur pada maklum balas peminat terhadap sesebuah rancangan. Apa yang menarik mengenai program kali ini ialah mereka berpeluang untuk menandatangani kontrak sebagai artis residen Astro selama tiga tahun dan bakal menerima hadiah yang menarik yang akan diberitahu kelak.
Dua penyampai berpengalaman, Aznil Nawawi dan Suhaimi Sulaiman diberi peluang untuk menggalas cabaran besar mencari pelapis mereka pada masa hadapan.Umum mengetahui kedua mereka mempunyai pengalaman luas didalam bidang pengacaraan,penyampai radio mahupun pembaca berita.
Aznil sendiri yang sudah mempunyai 22 tahun pengalaman didalam bidang TV dan Radio amat teruja untuk memulakan program ini sambil menyatakan sudah sampai masanya untuk dia mencurahkan ilmu serta mencari pelapis didalam bidang pengacaraan kerana buat masa ini industri amat kekurangan pengacara yang benar-benar berasal dalam bidang pengacaraan.
Suhaimi pula menyambut baik dan positif mengenai pengenalan program ini yang dilihat mampu menaikkan taraf bidang pengacaraan serta mencungkil mereka yang terbaik di kalangan yang berbakat. Seperti Aznil, Suhaimi juga mempunyai fokus pada kriteria bakat pengacara yang dicari yang diharapkan mampu mencipta nama suatu hari nanti.
Bercakap pada sidang media yang diadakan di Garibaldi, Bangsar Village 1, petang semalam, idea asal program ini dicetuskan Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Datuk Rohana Rozhan yang melihat bidang pengacara perlu mempunyai pelapis baru. Malah, senario meminjam pengacara dari golongan artis seperti penyanyi dan pelakon bukanlah jaminan pada pengacara pelapis yang dicari.
Untuk uji bakat yang akan bermula pada 14 Januari hingga 5 Feburuari ini, peserta akan diberikan beberapa contoh skrip untuk dipilih merangkumi pelbagai genre program.
Sesi uji bakat akan bermula di lokasi pertama di Red Box, Gurney Plaza, Pulau Pinang pada 14 & 15 Januari ini diikuti, The Puteri Pacific, Johor Bahru (21 & 22 Januari), Merdeka Palace, Kuching (28 & 29 Januari) dan Astro, Bukit Jalil (4 & 5 Februari). Episod ujibakat On Air pula akan ditayangkan di Astro Ria setiap hari Rabu, jam 9 malam bermula 25 Januari ini.
Syarat ujibakat pula adalah seperti berikut:
Peserta lelaki atau wanita (bujang atau sudah berkahwin)
Berumur di antara 18 hingga 30 tahun (pada 14 Januari 2012)
Memiliki kad pengenalan dan sijil kelahiran yang sah
Boleh bertutur dalam bahasa Melayu dan Inggeris dengan baik
Mempunyai personality menarik
Perlu dibawa:
Sekeping gambar berukuran 4R
Salinan kad pengenalan
Resume
Kepada anda diluar sana yang amat meminati bidang pengacaraan sila hadir ke ujibakat On Air kerana perkara ini jarang sekali berlaku serta manalah tahu peluang anda untuk menjadi artis residen Astro!